[VIDEO] Peserta demonstrasi #TangkapAzamBaki ingkar arahan berhimpun
KUALA LUMPUR - Kumpulan peserta demonstrasi #TangkapAzamBaki yang berhimpun di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, Jalan Bangsar di sini ingkar arahan pihak berkuasa melarang sebarang perhimpunan diadakan di ibu negara.
Larangan itu berikutan ibu negara masih berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 yang jelas melarang sebarang aktiviti perhimpunan orang ramai.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat peserta perhimpunan gagal mematuhi penjarakan fizikal sekali gus boleh berlaku penularan Covid-19.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan mengenal pasti penganjur terlibat dalam perhimpunan ini dan memanggil mereka untuk membantu siasatan.
"Perhimpunan itu bermula pada jam 11 pagi dan berakhir jam 12.45 tengah hari. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang penganjuran tersebut.
"Bagaimanapun penganjur perhimpunan ini akan dikenal pasti dan dipanggil untuk dirakam percakapan," katanya kepada Sinar Ahad.
Azmi berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh mengundang kepada penyebaran Covid-19.
"Saya ingatkan kepada semua bahawa Kuala Lumpur masih lagi di bawah Fasa 4 PPN. Semua pihak harus mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Demonstrasi dihadiri beberapa aktivis seperti Adam Adli Abdul Halim itu dilihat mengubah lokasi ke sekitar Jalan Bangsar untuk mengelak perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada Jumaat.
Perintah mahkamah itu melarang perhimpunan sekitar Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka selama tujuh hari berkuat kuasa Khamis lalu.
Perhimpunan yang berlangsung hampir dua jam itu dimulakan dengan ucapan para aktivis sebelum berarak sejauh kira-kira 600 meter menghala ke persimpangan lampu isyarat ke Brickfields dan berpatah balik ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar.
Peserta berbaju T hitam itu dilihat melaungkan 'tangkap Azam Baki', 'hidup rakyat' selain beberapa plakad bertulis ayat cacian terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut dikesan gimik yang mengaitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Antara pemimpin politik yang dilihat hadir ialah Ketua Dapsy, Howard Lee Chuan How; Bendahari Muda, Tarmizi Anuwar; dan aktivis politik, Mandeep Singh.
Tinjauan Sinar Harian turut mendapati situasi premis perniagaan lengang di Jalan Bangsar tanpa kehadiran pengunjung susulan perhimpunan terbabit.
Ia berikutan beberapa laluan dilencongkan dan ditutup membabitkan beberapa jalan utama menuju ke Jalan Bangsar bermula awal pagi Sabtu
Sebelum ini, polis menerusi kenyataan memaklumkan empat jalan utama menuju ke Bangsar akan dilencongkan susulan tular info berkaitan perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ditangkap ditukar ke kawasan sekitar LRT Bangsar pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi sehingga selesai.
"Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.
"Selain daripada lencongan jalan, pihak pengoperasian stesen MRT, LRT, Monorail dan KTM juga akan membuat penghentian sementara operasi bermula jam 7 pagi bagi beberapa stesen utama di sekitar Kuala Lumpur seperti diumumkan dalam siaran media semalam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Selasa, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata, perhimpunan berkenaan adalah platform untuk mendesak Azam ditahan serta-merta oleh pihak berkuasa, selain mendesak proses undang-undang ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen susulan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pemilikan saham.
Kata jawatankuasa itu, setiap pemimpin dan anggota yang berjawatan tinggi harus berhenti bertindak atas kepentingan sendiri termasuk menipu dan menyeleweng untuk kekal berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!